Jul 12, 2010

Wira Pemanah Helang

Bab 1. Pergolakan Dalam Ribut Salji

Pada suatu hari ketika salji sedang turun dengan lebatnya, seorang lelaki, Yang Tiexin, berdiri di jendela rumahnya sambil berfikir, “Entahlah bila agaknya kaum biadap itu akan dapat disingkirkan dari kampung halamanku di Shandong”. “Abang” tiba-tiba terdengar suara seorang wanita memanggil, apabila Tiexin menoleh didapatinya isterinya Bao Xiruo tercegat di pintu bilik. Kata Xiruo, “Sudah 3 tahun kita berhijrah ke Desa Niu ini di wilayah selatan ini setelah kampung halaman kita jatuh ke dalam tangan penceroboh. Apakah abang masih belum biasa dengan kehidupan di sini?” Dengan geram Tiexin menjawab, “Tanah air kita telah diceroboh oleh kaum biadap. Mereka membunuh dan membakar kampung halaman kita dengan sewenang-wenangnya. Geram aku memikirkannya!” Xiruo lalu memujuk suaminya sambil tersenyum, Sudahlah abang, tak usahlah abang marah lagi, marilah kita menjemput abang angkat dan isterinya minum bersama kita. Agak sejuk malam ini, bolehlah kita memanaskan badan sedikit” “Hmm Baiklah! Aku baru mahu mencadangkannya tadi.” Senyum Tiexin pula.

“Kalau begitu, abang pergilah beli arak sekarang.” cadang Xiruo. “Oh ya! Aku juga mesti beli seekor ayam.” sambil tersenyum sinis Tiexin menjawab. “Abang hendak beli ayam?” tanya Xiruo kehairanan. “Ya! Kau tidak mengizinkan aku menyembelih ayam-ayam yang kau pelihara itu.” kata pula Tiexin. “Aku tidak sampai hati melihat ayam-ayam yang ku pelihara sejak kecil disembelih.” kata Xiruo muram. “Kau ini terlalu baik hati.” Tiexin tahu kelemahan isterinya seorang yang lembut hatinya. “Abang memang suka bergurau.” balas Xiruo sambil mencubit Tiexin yang ketawa terkekeh-kekeh. Kemudian sambil Tiexin mencapai 2 balang bekas arak, “Aku pergi sekarang ya?” “Baiklah! Cepat balik ya?” lambai si isteri pula kemudian dia menoleh ke lantai dan memerhatikan kucing peliharaannya, “Tompok, mari kita ke dapur. Aku harus menanak nasi sekarang.” “Meow” seolah faham pula si kucing lalu mengikuti tuannya ke dapur.


Selang beberapa lama berjalan, Tiexin pun sampai ke kedai arak yang berdekatan dengan rumahnya. Kedai arak itu masih tertutup lalu Tiexin pun mengetuk pintu kedai itu. “Abang Qui! Buka pintu aku nak beli arak! Abang Qui?!” Tiada jawapan. Tiexin lalu berjalan ke tepi jendela yang berpalang tapi daun tingkapnya terbuka, dia pun mengintai ke dalam kedai. Sunyi, tiada orang di dalam kedai itu. Tiexin pun termenung memikirkan sesuatu, “Sudah 3 hari aku tidak pergi ke kedainya. Nampaknya macam dia sudah berpindah. Hmm terpaksalah aku pergi membeli arak di Desa Ijas Merah sekarang” Baru saja Tiexin berputar badannya ingin melangkah ke Desa Ijas Merah, tiba-tiba dia teringat suatu peristiwa, “Ah! Jangan-jangan abang Qui telah ditimpa malang? Malam itu aku dan abang Guo nampak dia berkelahi dengan askar-askar.” Tiexin terkenangkan peristiwa suatu malam.

Malam itu, Xiaotian dan Tiexin telah berburu di sebuah hutan yang terletak lebih 2 km di barat kampung mereka dengan harapan akan dapat seekor babi hutan atau kijang. Selepas 2 jam berburu, seekor binatang pun tiada yang melintas. Ketika mereka hampir hilang kesabaran, tiba-tiba mereka terdengar bunyi besi berdenting-dentang di luar hutan itu. Mereka saling memandang, “Apa yang telah berlaku?” Pada ketika itu, dari kejauhan terdengar beberapa orang sedang membentak, “Ke mana kau mau lari!? Berhenti!” Kemudian satu bayangan melompat ke dalam hutan itu. Xiaotian dan Tiexin akhirnya nampak dengan jelas kerana disinari cahaya bulan yang terang. Kedua mereka terkejut kerana mereka mengenali orang yang melompat itu cacat kedua kakinya itu pemilik kedai arak di kampung mereka iaitu QuiSan. Dia menghentak tongkatnya ke tanah, “Zeng!” Badannya tiba-tiba melayang ke sebatang pokok dan menyorok di situ. Gelagat itu menunjukkan betapa tingginya hikmat meringan badan. Xiaotian dan Tiexin terkejut dan saling berpandangan, “Tidak sangka kungfu abang Qui begini baik dan kami telah tinggal bersama di kampung selama 3 tahun.” Kedua mereka terus memendamkan diri disebalik semak tidak berani bergerak atau keluar.

Langkah-langkah kaki semakin dekat, 3 lelaki telah sampai di tepi hutan itu. Mereka membisik sesuatu dan mula berjalan perlahan-lahan dan berhati-hati masuk ke dalam hutan itu. Ketiga-tiga mereka berpakaian tentera dengan setiap seorang memegang golok. Di bawah sinar bulan, golok mereka memantulkan cahaya hijau. Seorang daripada mereka menjerit, “Celaka cacat! Orang tuamu ini dapat melihat kau, lebih baik kau keluar dan menyerah!” QuiSan terus membatu di sebalik pokok itu. 3 askar itu mula memutarkan golok-golok mereka sambil menebas segala semak yang menghalang perjalanan mereka. Dengan perlahan-lahan mereka semakin menghampiri, tiba-tiba terdengar suara bentakan dan QuiSan menikam tongkat kanannya kepada dada salah seorang askar. Askar itu menjerit lalu terpelanting ke belakang dan jatuh. 2 askar lagi lalu menyerbu QuiSan.

QuiSan menolak dengan tongkat kanannya lalu melompat beberapa depa ke kiri, mengelakkan tebasan golok-golok itu. Tongkat kirinya lalu menusuk cepat ke muka seorang askar. Askar itu tidak lemah rupanya, dia pun mengelak serangan itu dengan goloknya. QuiSan tidak menunggu lalu menghayun tongkat kanan pula pada pinggang askar yang lagi satu. Dia menggunakan tongkatnya dengan kelincahan yang menakjubkan walaupun dia terpaksa menampung badannya dengan satu tongkat dan menyerang dengan tongkat yang lain, tapi dia masih lagi berada di atas angin. Xiaotian dan Tiexin mendapati QuiSan membawa sebantal barang diikat di belakangnya. Selepas beberapa lama, salah satu golok itu menebas ke belakang dan mengenai bantal itu. “Dang!” Bantal itu lantas terkoyak dan beberapa bentuk barang melayang jatuh ke tanah. QuiSan mengambil kesempatan ini lalu menghentak keras ke kepala askar itu dengan tongkatnya. Askar itu lalu jatuh ke tanah tak bergerak lagi. Askar yang tinggal mula ketakutan lalu berputar untuk melarikan diri. QuiSan menyeluk keluar sesuatu yang bulat dan melontar lalu mengenai kepala askar yang lari itu. Askar itu mengeluarkan suara yang ngeri dan terhoyong-hayang lalu rebah. Selepas mengelepar beberapa ketika, tidak bergerak lagi.

Xiaotian dan Tiexin baru menyaksikan kehebatan kungfu QuiSan membunuh 3 askar itu. Keduanya cemas dan tidak berani untuk bernafas dengan kuat kerana keduanya berfikir sesuatu yang sama, “Suatu jenayah yang besar kerana telah membunuh orang kerajaan. Kami tidak mempunyai peluang kalau dia mahu membunuh kami untuk merahsiakan persoalan ini.” QuiSan memusingkan badannya lalu berkata: “Abang Guo, abang Yang, kamu boleh keluar sekarang!” Dengan terpaksa selepas beberapa ketika, mereka melangkah keluar dari semak-semak itu. Mereka saling menggenggam erat pencakar mereka. Tiexin menjeling ke arah Xiaotian dan pencakar di tangan abangnya lalu maju 2 langkah ke depan. QuiSan tersenyum: “Abang Yang, Jurus Lembing Keluarga Yang dapat digunakan melalui pencakar (kayu panjang yang dihujungnya besi bermata tiga seperti garfu), tapi abang angkat kamu menggunakan sepasang tongkat pendek bercangkuk dan pencakar tidak menepati keahliannya, jadi kau telah maju terlebih dahulu. Seorang lelaki sejati, semangat setiakawan!” Mendengarkan apa yang dibicarakan oleh QuiSan, Tiexin terkaku dan tidak tahu apa yang mahu dibuatnya. QuiSan menyambung: “Abang Guo, kalau kau memegang sepasang tongkat cangkuk. Apakah kamu berdua dapat mengalahkan aku?”

Xiaotian menggelengkan kepalanya: “Tidak, kami tidak mampu. Kami berdua selama ini buta kerana tidak dapat menduga kau mempunyai hikmat yang tinggi malah seperti seorang pendekar.” QuiSan menggeleng pula lalu mengeluh, “Aku langsung tidak dapat menggunakan kaki, bagaimana aku boleh dianggap seperti seorang pendekar?” “Dulu, aku tidak mempunyai masalah menghadapi askar-askar ini? Ai aku dah tak berguna sekarang. Tak berguna.” Xiaotian dan Tiexin saling memandang, tidak pasti bagaimana harus membalas kata. QuiSan berkata lagi: “Bolehkah kamu berdua menolong aku yang cacat ini menanamkan 3 mayat askar-askar ini?” Kedua mereka saling memandang lagi lalu Tiexin menjawab, “Baiklah!” Kedua mereka menggali sebuah lubang yang besar menggunakan pencakar dan mencampakkan ketiga mayat itu ke dalamnya. Semasa mereka mahu mencampakkan mayat yang terakhir itu, Tiexin mendapati sebahagian benda bulat tadi masih lagi terpacak di belakang kepala askar itu. Dia merentap benda itu dan mendapati bahawa benda itu adalah pelet besi 8 persegi. Dia mengelap darah di pelet itu dan menyerahkannya kembali kepada QuiSan. QuiSan mengambil 8 Persegi dan berkata: “Maaf kerana telah menyusahkan kamu.” Dia menyimpan semula 8 Persegi itu ke dalam bajunya. Dia kemudiannya membentangkan sehelai kain dan mula memungut semula barang-barang yang jatuh tadi ke dalam kain itu.

Setelah habis menanam mayat-mayat tadi, Xiaotian dan Tiexin melihat terdapat 3 gulung lukisan dan berbagai barang berharga yang berkilauan. QuiSan meletakkan teko emas dan cawan emas sambil membungkus yang lainnya. Dia mengangkat 2 barangan emas tadi dan berkata: “Barang² ini aku ambil dari istana di Lingan. Maharaja telah menindas rakyat, mengambil sedikit barang² ini yang dicuri dari rakyat tidak menjadikan kesalahan. Anggaplah 2 benda ini hadiah dariku.” Kedua mereka tidak percaya bahawa QuiSan begitu berani memecah masuk istana dan mencuri. Mereka tidak berani untuk menerima pemberian itu. QuiSan bertegas, “Kamu takut untuk menerima pemberian ini atau kamu memang tidak mahu?” Xiaotian menjawab, “Kami berdua tidak layak menerima hadiah² yang mahal ini. Perkara malam ini, janganlah abang Qui bimbang, kami berdua tidak akan memecahkan apa yang telah berlaku.” QuiSan balas, “Hmph! Kenapa aku mesti risau kalau rahsia ini terbongkar? Aku kenal kamu berdua dan latarbelakang kamu, kalau tidak mana mungkin kamu berdua masih bernafas? Abang Guo, kau adalah keturunan GuoSheng, salah seorang pahlawan Garisan Air dari Gunung Liang. Kau menggunakan kepandaian cota bergigi keluarga, cuma ianya pendek sepatutnya panjang dan 2 sepatutnya 1. Abang Yang, kau keturunan Yang ZaiXing, salah seorang panglima di bawah General Yue. Kamu berdua adalah keturunan 2 pahlawan, bila tentera Jin menjajah utara, kamu berdua mulai berkelana dan menjadi saudara angkat. Kemudian kamu berdua menetap di Desa Niu bersama. Betul tak kataku?” Kedua mereka terkejut bila menyedari QuiSan tahu latarbelakang mereka luar dan dalam. Mereka cuma menganggukkan saja.

{Nota: Di dalam Wira Garisan Air, 2 watak yang menggunakan cota bergigi adalah LuMeng dan GuoSheng. Gelaran LuMeng ialah “Vassal Kecil” dan GuoSheng 'adalah “Aristokrat Budiman”. Mereka menyertai pemberontakan dan selalunya bersama di dalam peperangan. Malah mereka mati bersama dihempap batu ketika menyerang kedudukan yang tinggi dalam pemberontakan FangLa, seorang ketua Kultus Ming yang akan diceritakan kemudian dalam ‘Pedang Syurga Dan Golok Naga’. Yang ZaiXing adalah salah seorang pahlawan yang terkenal di bawah YueFei. Semasa serangan ke 2 oleh tentera Jin ke Song Selatan, sekumpulan 200 orang peninjau yang dipimpin oleh Yang ZaiXing telah dikepung oleh tentera Jin yang seramai lebih 12,000 orang. Yang ZaiXing dan pengikut²nya telah melawan sehingga titisan darah yang terakhir dan membunuh lebih 1,200 tentera Jin. Selepas beberapa lama, YueFei mengumpan tentera Jin untuk bertembung dengan 800 askar yang dipimpinnya sendiri sementara tentera utamanya menyusup dan menyerang dari belakang dan kedua-dua bahagian tepi tentera Jin. Mereka berjaya menghancurkan tentera Jin itu dalam peperangan tersebut membuatkan YueFei menjadi terkenal. Strategi Yue Fei ini mungkin hasil ilham dari usaha dan keberanian Yang ZaiXing dan 200 askarnya.}

QuiSan berkata, “GuoSheng dan Yang ZaiXin adalah pemberontak sebelum berpihak kepada kerajaan dan mengambil bahagian untuk berperang bagi pehak Dinasti Song. Jadi kedua mereka juga pernah mencuri dari penindas iaitu kerajaan mereka sendiri. Jadi cuba kamu katakan, apakah kamu berdua mau terima pemberian aku ini atau tidak?” Tiexin berfikir sejenak: “Jika aku menolak, ini akan membuatkan dia marah.” Lalu Tiexin mengambil barang² itu dari tangan QuiSan dan berkata, “Kami amat berbesar hati. Terima kasih.” QuiSan sangat gembira, dia mengambil bungkusan tadi lalu di gendongnya dan memusingkan badannya, “Masa untuk kita pulang.” Ketiga mereka berjalan keluar dari hutan itu. QuiSan kata: “Aku mendapat 2 barangan yang amat berharga malam ini, 2 lukisan Maharaja DaoJun dan selembar tulisannya dalam seni khat juga. Orang ini tidak layak menjadi raja tetapi ‘Plum Hijau Merah’ dan ‘Seni Emas Tipis’ adalah 2 yang terbaik di dunia ini.” 2 orang yang lain itu tidak tahu apa itu ‘Plum Hijau Merah’ atau ‘Seni Emas Tipis’, cuma mereka mengangguk saja tanda setuju. {‘Plum Hijau Merah’ ternyata adalah seni melukis yang menggambarkan burung² dan binatang² dengan menekankan penggunaan warna² hijau dan merah. ‘Seni Emas Tipis’ pula adalah seni khat yang halus tulisannya.}

Selepas berjalan beberapa lama, Tiexin memecahkan kesunyian malam itu: “Pagi tadi abang Qui kata setengah Dinasti Song telah jatuh ke tangan Maharaja DaoJun. Jadi apa gunanya lukisan dan tulisan itu? Kenapa perlu bersusah-payah menanggung risiko masuk ke dalam istana untuk mengambilnya?” QuiSan tersenyum: “Ini tentunya sesuatu yang kalian tidak akan faham.” Xiaotian juga berkata: “Jika Maharaja DaoJun seorang yang berkebolehan di dalam menulis dan melukis, dia tentunya seorang yang bijak. Cuma sayang dia tidak menumpukan perhatiannya untuk menjadi seorang pentadbir yang baik. Semasa aku masih kecil bapaku pernah memberitahu bahawa seseorang itu, apa yang diperlakukan, seharusnya menumpukan pada satu perkara sahaja. Jika cuba membuat sedikit itu dan sedikit ini, akhirnya tidak ada satupun yang dapat dibanggakan.”

QuiSan menjawab, “Untuk manusia biasa, ini adalah benar. Tapi di dalam dunia ini masih ada seorang yang hebat dalam semua segi. Dari ilmu bahasa ke hikmat; termasuk sastera iaitu persuratan, lukisan dan musik; dari matematik ke perancangan tentera; sehinggakan perubatan, astrologi dan 5 unsur²; tiada suatu pun yang tidak dapat difahaminya, tiada suatu pun yang tidak dapat dia berjaya. Hanyalah masa tidak akan mengizinkan kamu berdua untuk berjumpa dengan orang ini.” QuiSan memerhatikan bulan lalu mengeluh panjang.

Di bawah sinaran bulan, Xiaotian dan Tiexin melihat airmata mengucur turun di pipi QuiSan. Selepas malam itu mereka berdua menganggap tiada apa yang pernah berlaku, mengerjakan pertanian dan menangkap apa saja makanan, apabila ada masa terluang mereka akan berlatih kungfu mereka. Walaupun bersama, kejadian itu tidak pernah diungkitkan kembali. Mereka berdua masih lagi ke kedai arak dan QuiSan masih lagi menyediakan arak dengan sedikit kacang² untuk dimakan bersama arak. Selepas itu dia akan pergi duduk di tepi pintu dan mengelamun. Seolah tiada apa yang pernah berlaku cuma bila Xiaotian dan Tiexin melihat QuiSan, mata mereka menyerlahkan rasa hormat. Setelah beberapa lama Yang Tiexin mengelamun di depan kedai arak itu, dia pun meninggalkan kedai arak itu dengan segera menuju ke desa sebelah untuk membeli arak. Salji semakin lebat dan suasana pun semakin gelap.

Di luar timur kota Hangzhou, di Desa Niu, 2 orang gagah, Xiaotian dan Tiexin sedang minum arak putih sambil duduk berhadapan bagaikan saudara sejati. Mulanya kedua orang ini bertemu dalam pengembaraan, setelah merasa cocok, mereka mengangkat saudara, kemudian bersama-sama mereka pindah dan tinggal di desa ini. Kebiasaan mereka adalah duduk berkumpul, bersembang dan menyakinkan hikmat. Demikian juga pada hari itu, selagi salji turun, mereka duduk minum arak dan berbicara dengan asyiknya. Ketika mereka bicara hal nasib negara, keduanya menjadi berduka dan geram. Tiba-tiba saja Tiexin menghentak meja dengan kerasnya. Saat itu tirai tersingkap, kelihatan seorang wanita yang cantik keluar sambil memegang dulang di mana terdapat masakan daging sapi serta ayam. “Hai, urusan apa lagi yang membuat kamu berdua saudara marah²?” tanya wanita itu sambil tertawa. “Kami tengah membicarakan urusan negara yang gila-gila!” sahut Xiaotian. “Adik, mari kau pun minum secawan!”

Wanita itu adalah Bao Xiruo. Di Lingan ini, dia merupakan wanita tercantik dan halus budi pekertinya, hingga dia tepat dengan wajahnya. Siapa yang melihat dia, pasti merasa kagum. Dengan Tiexin, belum lama dia menikah, tetapi dia itu orangnya peramah dan dengan mudah bergaul dengan kaum pria-dalam halnya dengan Xiaotian, iparnya itu. Begitulah, setelah dia meletakkan makanan, dia mengambil cawan dan mengisinya, sesudah itu mengambil kerusi dan minum arak itu. “Kemarin sewaktu aku berada di dalam warung teh di Tonglam di ujung jembatan Cong An Kio, aku mendengar orang membicarakan pasal Han Zhou si perdana menteri keparat itu!” Tiexin menyahuti pertanyaan isterinya tadi. “Rapi pembicaraan itu, hingga aku percaya itu bukanlah bicara kosong belaka. Orang itu kata, pembesar siapa juga, jikalau dia hendak mengajukan laporan, apabila di ujung sampulnya tidak disertai keterangan dia menghadiahkan sesuatu, pasti perdana keparat itu tidak akan memeriksanya!”

Xiaotian menghela nafas. “Ada rajanya, ada menterinya” katanya masygul. “Ada menterinya, ada pembesar-pembesar bawahannya. Lihat saja hakim Zhao kota Lingan kita ini. Hari itu Han Zhou bersiar di luar kota dengan diiringi ramai pembesar. Kebetulan aku sedang mencari kayu dekat situ. Tentu saja aku tidak ambil peduli padanya itu. Lalu aku mendengar dia menghela nafas dan berkata seorang diri: ‘Di sini rumah-rumah berpagar bambu dan beratap, sungguh suatu desa yang indah menarik hati, hanya sayang sekali, di sini tidak terdengar suara ayam berkokok dan anjing menyalak.’ Belum lagi dia menutup mulutnya lalu terdengar salakan anjing dari dalam semak-semak!” Xiruo bertepuk tangan sambil tertawa. “Sungguh anjing yang tahu diri!” katanya. “Memang anjing yang sangat tahu diri!” sahut Xiaotian. “Setelah menyalak, dia muncul dari semak-semak itu. Adik tahu, anjing apakah itu? Dialah hakim Zhao kita.” Xiruo menjadi tertawa terpingkal-pingkal. Tiexin dan Xiaotian pun tertawa. Mereka minum terus hingga terlihat salji turun makin lebat.

“Nanti aku undang kak ipar minum bersama,” kata Xiruo kemudian. “Tidak usah,” Xiaotian mencegah. “Selama beberapa hari ini, dia merasa kurang sehat.” Xiruo terkejut, “Ah, mengapa aku tidak tahu!” katanya. “Nanti aku tengok!” Xiaotian tidak kata apa-apa lagi, dia malah tersenyum. Menampak hal itu, legalah hati Tiexin. Itu ertinya puan Guo sakitnya tidak berat. Tak lama, puan Yang kembali sambil tersenyum. Dia isikan satu cawan, lalu mengansurkan cawan itu kepada suaminya. “Lekas minum sampai habis!” katanya. “Inilah tanda hormat kepada abang.” “Eh, apakah ertinya ini?” tanya Tiexin tidak mengerti. “Minum, lekas minum!” desak Xiruo. “Habis minum nanti baru aku beritahu.” katanya kemudian. Tiexin lalu minum kering cawan itu. “Nah, abang, kau biacaralah sendiri.” kata Xiruo sambil tertawa kepada Xiaotian. Xiaotian tersenyum dan berkata, “Selama sebulan ini dia senantiasa mengeluh pinggangnya lenguh dan sakit. Baru kemarin dia pergi ke kedai ubat di kota, kata tabib itu dia sudah mengandung selama 3 bulan.” Tiexin menjadi girang sekali. “Tahniah, abang!” katanya sambil memberi selamat. Lalu ketiganya meneguk arak mereka, masing-masing 3 cawan. Tentu saja dengan meminum sebanyaknya itu, sedikitnya arak itu telah mempengaruhi mereka.

Pada saat itu di arah timur kelihatan seorang pendeta Tao sedang mendatangi. Dia memakai tudung bambu dan tubuhnya di tutupi dengan baju rumput yang seluruhnya penuh dengan salji. Dia berjalan dengan tegap dan cepat. Di belakangnya tergantung sebilah pedang, yang berambu kuning dan memain di antara tiupan angin yang keras. “Adik, pantas dan lincah pendeta Tao itu bergerak, pasti mengerti hikmat yang luar biasa,”kata Xiaotian. “Entah dari mana dia datang. Cuba kita dapat berkenalan dengannya. Sayang kita belum tahu namanya.” “Benar,” sahut Tiexin. “Baik kita undang dia minum untuk ikat persahabatan.” Keduanya segera berbangkit dan keluar. Ketika itu kerana cepat jalannya, si rahib sudah lewat beberapa puluh tombak. Xiaotian dan Tiexin saling melihat dengan hairannya. “Tuan rahib, tunggu sebentar!” Tiexin segera memanggil. Cepat sekali si rahib memutar tubuh dan mengangguk. “Salji turun dengan lebatnya dan hawa pun sangat dingin,” kata Tiexin pula, “Sudilah tuan rahib singgah untuk minum beberapa cawan untuk memanaskan badan.” Rahib itu menyahuti dengan tertawa dingin, lalu dia bertindak menghampiri – cepat sekali tindakannya. Xiaotian dan Tiexin berdua sangat terperanjat dan hairan menyaksikan muka orang itu berwajah dingin. “Kamu pandai bergaul, eh!” katanya tawar.

Tiexin masih muda panas baran dan dia tidak senang dengan sikap orang. “Dengan baik hati aku mengundang kau minum, kenapa kau tak tahu aturan?” fikirnya. Dia menjadi diam saja. Xiaotian sebaliknya lantas memberi hormat. “Tuan rahib, harap tuan tidak marah dengan sikap saudaraku ini. Kami sedang minum arak, melihat tuan rahib melawan salji, dia besarkan hati mengundang tuan rahib minum bersama.” Rahib itu memutar matanya. “Baik,baik!” katanya. “Minum arak ya minum arak!” Dan dengan langkah lebar dia menuju ke dalam. Tiexin merasa geram, dia hulurkan tangannya hendak mencekal tangan kiri si rahib untuk ditarik ke samping. “Bolehkah aku bertanya siapakah tuan rahib?!” katanya. Tapi tiba-tiba dia terkejut. Dia merasai tangan si rahib sangat licin. Ketika dia berniat menarik pulang tangannya, tangannya itu bagaikan tersepit, rasanya sakit dan panas. Dia kerahkan tenaganya untuk melawan tapi dia merasakan tangannya hilang tenaga dan sakit sekali sampai ke ulu hati. Xiaotian tampak wajah saudaranya merah dan pucat, dia tahu saudaranya ini tentu telah ‘ketemu ruasnya’. Dia mengerti gelagat yang kurang baik itu tapi masih sangsi campur tangan untuk membantu.

“Tuan rahib, mari silakan duduk di sini!” dia mengundang. Dua kali si rahib tertawa dingin, baru dia lepaskan cekalannya. Hal ini membuat Tiexin itu geram dan hairan, dia terus masuk ke dalam dan memberitahu isterinya tentang tetamu baru itu. “Dia sangat aneh, pergi temani dulu,” kata Xiruo. “Jangan terburu bertindak, perlahan-lahan saja kita cari tahu tentang dirinya.” Tiexin menuruti perkataan isterinya itu. Xiruo segera menyiapkan arak dan hidangan dan menyuruh Tiexin membawa keluar. “Tunggu sebentar!” panggil isterinya. Tiexin pun memutar kembali. Xiruo menghulurkan sebuah pisau belati yang tajam, yang tergantung pada tembok, dia memasukkan belati itu ke dalam saku suaminya. Tiexin pun keluar membawa barang hidangan itu dan mengaturnya di meja. Dia menuangkan tiga cawan, terus dia mengundang tamunya untuk minum. Dia juga meneguk satu cawan, habis minum dia berdiam saja.

Rahib itu memandang keluar jendela dan mengawasi salji. Dia tidak minum araknya dan dia pun tidak membuka mulutnya melainkan hanya tertawa dingin saja. Xiaotian menduga si rahib tentu curigai araknya, dia mengambil cawan arak di hadapan rahib itu, terus dia teguk di hadapan rahib itu. “Arakmu telah dingin tuan rahib, nanti aku tukar dengan yang baru,” katanya. Dia mengisikan pula. Si rahib dapat mencium bau harum arak itu, dia menyambuti dan terus diminumnya. “Aku tidak takut walaupun arak ini di campuri dengan ubat tidur!” katanya. Tiexin menjadi hilang sabar. “Kita undang kau minum dengan maksud baik, mustahil kami hendak mencelakai kau!” tegurnya. “Kalau kau takut diperdayakan, lebih baik kau berambus sekarang! Arak kami tidak akan menjadi rosak dan sayur kami tidak ada yang tak memakannya!” “Hmm” bersuara si rahib itu. Dia jemput poci arak dan menuang arak itu sendiri, lalu dia teguk habis 3 cawan. Habis itu dia buka baju luarnya dan letak tudungnya.

Sekarang baru Tiexin dan Xiaotian dapat melihat dengan jelas wajah orang itu. Mereka menduga si rahib baru berumur 30 tahun lebih, sepasang alisnya panjang lancip, kulit mukanya merah segar, mukanya lebar dan telinganya besar. Dia bukan sembarang pendeta. Ketika dia mengambil kantung di pinggangnya, dia terus lempar barang itu ke atas meja hingga terbitlah suatu bunyi yang keras, hingga kedua tuan rumah itu terkejut. Sebab yang yang menggelinding keluar dari dalam kantung itu adalah kepala manusia yang masih berlumuran darah, hingga tak nampak jelas raut mukanya. Tiexin meraba pisau belati dalam bajunya. Si rahib menakik pula kantungnya, kali ini dikeluarkannya 2 potong daging yang penuh darah juga iaitu hati dan jantung manusia.

“Jahanam!” teriak Tiexin yang sudah tak tahan sabar lagi, sedang tangannya melayang ke dada si rahib. “Kebetulan, aku memang menghendaki barang ini!” seru si rahib sambil tertawa. Dia tidak menghiraukan tikaman itu, hanya ketika si Yang itu sudah dekat, dia menggempur dengan tangan kirinya, hingga seketika juga Tiexin merasa bahunya tergetar, lalu tiba-tiba saja pisau belatinya dirampas si rahib. Xiaotian tergamam. Dia tahu kehebatan adik angkatnya itu yang cuma kalah sedikit dengannya. Tidak disangka, demikian mudah rahib ini merampas senjata orang. Itulah hikmat merampas senjata tajam yang hebat. Meskipun dia terkedu, dia segera bersiap dengan memegang bangku untuk membela diri jikalau si rahib terus menyerang. Akan tetapi dugaannya ini salah adanya. Rahib itu tidak menyerang siapa juga, dia hanya lantas memotong-motong hati dan jantung manusia itu dengan pisau tadi, lalu dengan tangan kiri mencekal poci arak, dengan tangan kanan dia jemput potongan daging satu demi satu, dimasukkan ke dalam mulutnya, dikunyah dan ditelan, dia selang dengan tegukan arak pada pocinya. Cepat makannya, sebentar saja habis sudah makanan yang rupanya sangat lazat itu.

Xiaotian dan Tiexin berdua saling mengawasi dengan tercengang. Sungguh aneh rahib ini. Akan tetapi itu masih belum semua. Habis makan, rahib itu berdongak, lalu dia bersiul nyaring sekali, sehinggakan genting sampai bergetar, kemudian tangan kanannya menyerang ke meja, hingga piring dan cawan berlompat. Yang hebat adalah sasaran serangan itu, ialah kepala manusia itu, yang remuk seketika! Sedang ujung meja turut sempal sedikit. Kedua saudara angkat itu berdiam, wajah si rahib yang tadinya bermuram durja dan bengis, tiba-tiba berubah menjadi penuh dengan air mata, dengan air mata bercucuran dia lalu menangis dengan meraung-raung! “Kiranya dia seorang yang gila.” bisik Xiaotian menarik hujung baju adik angkatnya. “Dia hebat sekali, jangan kita layani dia.” Tiexin mengangguk, dia awasi rahib itu. Sekarang tidak lagi dia gusar, sebaliknya dia merasa kasihan melihat kesedihan si rahib ini dan mengagumi hikmatnya. Kemudian dia lari ke dalam untuk mengambil semangkok sup yang masih panas. “Tuan rahib, mari minum sup ini!” katanya. Dia letak mangkok itu di atas meja.

Si rahib bukan menerima sup itu, dia sebaliknya menghentak meja hingga mangkok itu terbang berikut mejanya. Dia pun berseru, ”Kawanan tikus, hari ini atuk kamu membuka pantangan membunuh!” Meluaplah marah Tiexin bila si rahib berkata begitu, dia melompat ke ujung ruang untuk menyambar tombaknya, lalu dia terus lari keluar di mana salji terhampar luas. “Mari, mari!” dia menentang. “Mari belajar kenal dengan tombak keluarga Yang!” Rahib itu tersenyum. “Tikus, pantaskah kau mengguna hikmat tombak keluarga Yang?” tanyanya. Dia bersuara sambil tubuhnya melompat keluar. Melihat keadaan mengancam itu, Xiaotian lari untuk mengambil sepasang cangkuknya, dengan lekas dia kembali. Rahib berdiri tanpa menghunus pedangnya, Cuma angin menyampok-nyampok ujung bajunya. “Hunus pedangmu!” seru Tiexin. “Ah, 2 tikus, kamu berdua majulah bersama!” sahut si rahib. “Atuk kamu akan layani kamu dengan tangan kosong!”

Takbur bukan main si pertapa ini, hingga Tiexin tidak berlengah sejenak segera menikam dengan tombaknya yang berambu merah itu. Dia guna tipu kungfunya “Naga Berbisa Keluar Gua” “Bagus!” seru si rahib kagum bila melihat serangan yang menuju ke dadanya. Dia berkelit ke samping, tangan kirinya bergerak menyambar kepala tombak itu. Hebat hikmat tombak keluarga Yang itu. Tiexin tidak segagah leluhurnya itu tetapi hikmatnya cukup sempurna, begitulah dia mencuba mendesak si rahib yang sentiasa lolos dari tikaman, ketika habis sudah dijalankan semua 72 jurus ilmu tombak itu tanpa kurang sesuatu apa baru si orang muda menjadi gentar, terpaksa dia seret tombaknya untuk keluar dari kalangan. Rahib itu mengejar apabila dia mendapati lawannya itu lari.

Tiba-tiba Tiexin berseru keras, tubuhnya berputar balik dan terus dia menikam dengan hebat sekali. Itulah tipu kungfu “Menggempur Tembok”. Dengan tipu itu, musuh tidak menyangka dan terkejut. Dengan tipu ini juga dulu Yang Zaixing menjatuhkan YueFan, adik YueFei. “Bagus!” seru si rahib buat kedua kalinya. Dia tidak gugup ketika hujung tombak sampai, dia menyambutnya dengan kedua telapak tangan dirangkap, ditempel menjadi satu dengan keras sehingga hujung tombak itu tersepit. Tiexin kaget bukan kepalang. Dia mendorong dengan keras, tombaknya itu tak dapat maju melewati telapak tangan lawan. Ketika dia menarik dengan sekuat tenaga juga sia-sia belaka, tombaknya tak terlepas dari cekalan lawannya itu, kekuda si rahib juga menancap bagaikan terpaku. 3 kali dia mencuba menarik tanpa hasil, mukanya menjadi merah.

Tiba-tiba saja si rahib tertawa, lalu sepitan tangannya terlepas. Ketika tombak tertarik pulang, dia menampan dengan tangan kanannya tombak itu hingga dengan bersuara nyaring, tombak besi itu patah menjadi 2 potong! Rahib itu segera tertawa pula, lalu dia berkata. Kali ini dengan suara manis. “Tuan, benar hebat ilmu tombakmu!” katanya. “Maaf untuk perbuatanku ini! Mohonku tanya siapa tuan” “Aku bernama Yang Tiexin,” sahut Tiexin, masih lagi belum dapat tenangkan diri. Dia kesakitan pada kedua tangannya, dia pun hairan sekali. “Apakah perhubungan tuan dengan Panglima Yang Zaixing?” tanya si rahib. “Aku adalah cucunya,” jawab Tiexin pula. Mandadak si rahib itu beri hormat kepada saudara angkat itu, sikapnya hormat sekali. “Maaf, tadi aku menyangka tuan² adalah orang jahat,” dia berkata dengan pengakuannya. “Aku tidak sangka tuan² adalah turunan orang-orang setia. Bolehku tanya siapa tuan?” dia lanjuti kepada Xiaotian.

Dengan cara hormat Xiaotian memperkenalkan dirinya. “Tuan Rahib ini abang angkatku yang berketurunan dari GuoSheng salah seorang pendekar gunung Liang,” Tiexin menambahkan. “Bagus!” berkata si rahib, dia pun minta maaf pada pemuda Xiaotian itu. Kembali dia beri hormat. Tiexin berdua membalas hormatnya. “Silakan tuan rahib minum arak pula,” dia mengundang pula. “Memang ku ingin minum dengan puas bersama kalian!” kata si rahib dengan tertawa. Tiexin dan Xiaotian undang masuk semula ke dalam. Xiruo menyaksikan pertempuran dari muka pintu, girang dia mengetahui kesudahannya mereka menjadi sahabat, dia terus lari ke dalam, untuk menyiapkan pula arak dan hidangan. Kali ini Tiexin dan Xiaotian tanya gelaran si rahib. “Saya bernama Qiu Chuji,” sahut rahib itu. Xiaotian terperanjat mendengar nama itu. “Oh, apa tuan bergelar Rahib Awet Muda?” dia menyela. “Itulah nama pemberian rakan-rakanku, saya malu menerimanya,” kata Chuji sambil tertawa.

Xiaotian segera berkata kepada adik angkatnya: “Adik, tuan rahib ini adalah orang gagah nombor satu di zaman ini. Sungguh beruntung kita dapat berjumpa dengannya!” “Oh!” Tiexin berseru kaget. Lalu berdua, mereka berlutut di depan rahib itu. Rahib Chuji tertawa, dia memimpin bangun kedua orang itu. “Hari ini aku telah membunuh seorang jahat, kerananya para pembesar negeri sedang mencari aku,” dia berkata. “Tadi aku lewat di sini, aku lihat kamu berdua sedang minum arak. Di sini adalah kota maharaja dan kamu kelihatannya bukan sembarang orang, oleh itu aku menjadi curiga.” “Keliru adalah saudaraku ini yang tabiatnya baran,” Xiaotian bilang. “Tuan rahib lihat sendiri perangai barannya tadi, pantas kalau tuan rahib jadi curiga kerananya.” Xiaotian dan Tiexin tertawa. Begitulah mereka lalu minum dan makan dengan gembiranya. “Sebenarnya aku adalah orang utara,” kemudian rahib Chuji berkata pula. “Rumah tanggaku hancur lebur kerana kejahatan tentera Jin, sedang pemerintah selalu mencari keuntungan daripadanya, oleh itu aku telah sucikan diri.”

Dia terus tunding kepala manusia yang remuk dan yang tergeletak di lantai itu. “Dia itu adalah Wang Daokun, pengkhianat besar. Pada tahun yang lalu maharaja mengutus dia kepada maharaja Jin, memberi selamat ulang tahun maharaja itu. Ketika itu dia mengambil kesempatan untuk bersekongkol, supaya tentera Jin dapat menyerbu ke Selatan. Aku susul dia selama 10 hari baru dia dapat diserkap, lalu aku membunuhnya. Fikiranku sedang kacau juga tadi aku berlaku tidak selayaknya.” Xiaotian dan Tiexin memang kagumi rahib ini yang terkenal hebat hikmatnya. Sekarang ternyata orangnya pun menyintai negara membuatkan mereka lebih lagi menghormatinya. Lalu mereka mohon pengajaran kungfu. Rahib Chuji tidak keberatan, lalu dia memberi beberapa petunjuk. “Tuan rahib, sunggguh beruntung kami dapat bertemu dengan tuan rahib,” kemudian Tiexin utarakan isi hatinya, “Sudilah tuan rahib berdiam untuk beberapa hari di pondok kami ini.” Ketika rahib itu hendak menjawab, mendadak air mukanya berubah. “Ada orang datang mencari aku,” katanya, “Ingat, tidak peduli bagaimana keadaanku nanti, kamu tidak boleh munculkan diri! Mengerti?!”

Xiaotian dan Tiexin hairan akan tetapi mereka lantas mengangguk. Rahib Chuji lantas sambar kepala Wang Daokun, dengan cepat dia bertindak keluar, lincah bagaikan burung terbang dia loncat naik ke atas sebuah pohon besar di halaman rumah. Xiaotian berdua hairan. Kecuali deruan angin, mereka tidak dengar suara lainnya, mereka pun tidak nampak apa-apa. Sesudah memasang telinga dan angin pun lewat, baru mereka terdengar langkah kaki kuda.
“Sungguh tajam telinga pendeta!” puji Tiexin. Suara kuda itu datang semakin dekat, dan kemudian tampaklah belasan penunggang kuda, setiap penunggangnya mengenakan pakaian hitam. Mereka itu menghampiri pintu, setelah tiba, orang yang pertama pecahkan kesunyian: “Sampai di sini bekas-bekas kakinya, nampaknya ada perlawanan!” Beberapa orang lompat turun dari kudanya, mereka periksa tapak kaki rahib Chuji. Xiaotian dan Tiexin berdua sembunyi di dalam rumah dan mengintai di antara sela-sela jendela. Mereka mendapati orang semuanya lincah tanda mereka mengerti hikmat dengan baik. “Masuk rumah itu dan geledah!” terdengar seseorang memerintah yang maju di muka itu.

2 orang segera lompat turun dari kuda mereka, lantas menghampiri rumah Tiexin untuk mengetuk pintu. Saat itu dari atas pohon menyambar sebuah benda yang jitu lalu mengenai belakang kepala seorang di antara 2 orang itu hingga dia ini roboh dengan kepalanya pecah hancur. Kawannya terkejut dan berteriak, hingga yang lain-lainnya turut berteriak pula, benda yang digunakan untuk menimpuk itu adalah kepala “Hakim Wang”. Dengan pantas mereka mengepung pohon dari mana serangan itu datang. Orang yang menjadi pemimpin menghunus golok panjang lalu memberi perintah. 5 orang mengguna panah untuk menyerang ke arah atas pohon. Tiexin sambar tombaknya dan bersedia untuk menerjang keluar untuk membantu si rahib, tetapi Xiaotian menariknya. “Jangan!” katanya. “Tuan rahib telah pesan kita jangan keluar. Kalau ternyata dia tidak sanggup melawan, baru kita campur tangan.”

Ketika Xiaotian ini berbicara, Qiu Chuji sudah beraksi. Dia meyambut sebatang anak panah itu dan berkelit mengelakkan 4 yang lain lalu menimpuk ke bawah. Terdengar jeritan dan robohlah seorang penunggang dari kudanya. Chuji mencabut pedangnya lalu melompat turun, hingga akibatnya 2 musuh menjerit dan roboh binasa kena tikaman pedang. “Rahib bangsat, kiranya kau!” berseru si pemimpin, yang bajunya hitam. Dia perdengarkan suaranya seraya tangkis anak panah yang ditimpukkan ke arahnya, kemudian dia keprak kudanya maju untuk menyerang sambil tiga batang panah di tangannya telah mendahului majunya itu. Sebelum Chuji menyerang pemimpin itu, dia telah robohkan lagi 2 musuh, hingga sebentar saja dia telah minta 5 korban. Tiexin kagum hingga dia terkedu. Dia telah belajar kungfu belasan tahun, tetapi sedikit juga dia tidak dapat tandingi rahib itu yang lincah dan hebat. Dia merasa ngeri bila teringat tadi dia telah berani lawan rahib yang hebat itu.

Sekarang Chuji melayani si pemimpin yang bengis. Selang beberapa ketika, Xiaotian dan Tiexin segera mengerti pendeta Tao itu sengaja mempermainkan orang untuk menjalankan tipu helah. Kalau dia lekas-lekas robohkan si pemimpin, mungkin bawahannya nanti lari semua. Selang tak lama, rahib itu dikepung hanya 7 orang, yang hikmatnya paling baik. Menampak ini, si pemimpin menjadi kecil hatinya, oleh itu, dengan tiba-tiba dia keprak kudanya, buat berbalik untuk lari pergi. Mata si rahib sangat tajam dan cepat gerakannya, selagi kuda berputar, dia menyambar dengan tangan kirinya, mencekal ekor kuda itu. Sewaktu menarik dia enjot tubuhnya, untuk melompat naik, tetapi belum lagi dia duduk di atas kuda itu, pedangnya sudah menikam tembus belakang si pemimpin, tembus dari belakang ke depan, hingga tubuh orang itu roboh ke depan. Demikian dengan menunggang kuda, sekarang si rahib ini dapat serang lain-lain musuh. Dia tidak memerlukan banyak waktu untuk membuat setiap kuda tanpa penumpangnya, sebaliknya mayat-mayat bergelimpangan di tanah bersalji itu, yang menjadi merah kerana berlumuran darah mereka itu.

Seorang diri si rahib tertawa. “Puas aku dengan pertempuran ini!” katanya kepada Xiaotian dan Tiexin, yang telah muncul. Hanya hati mereka masih kebat-kebit. “Tuan rahib, siapakah mereka ini?” tanya Xiaotian. “Kau geledah saja tubuh mereka!” sahut si rahib. Xiaotian menghampiri mayat si pemimpin, untuk memeriksa sakunya. Dia dapatkan sepotong surat titah, dari Hakim Zhao yang ‘menyalak’ sebagai anjing itu. Surat titah rahsia itu mengarahkan ketua polis daerah Lingan untuk membantu utusan Jin dalam operasi menangkap pembunuh Wang Daokun, untuk mana si residen bekerjasama dengan pihak bangsa Jin, sebab dia telah di desak oleh utusan negara Jin. Mengetahui itu, Xiaotian menjadi sangat geram. Sedang begitu, Tiexin telah perdengarkan seruan seraya tangannya menyekal beberapa potong tandanama yang diambil dari beberapa mayat. Kerana huruf-huruf yang terdapat adalah huruf bahasa Jin, menjadi nyata, di antara orang-orangnya residen Lingan itu adalah orang bangsa Jin. “Celaka betul!” teriak Xiaotian dalam murkanya.

“Tentera Jin main bunuh orang di wilayah kita, sekarang pembesar kita boleh disuruh-suruh dan diperintah olehnya. Negara kita ini menjadi negara apa?!” Qiu Chuji sebaliknya tertawa. “Sebenarnya orang suci seperti aku mestinya berlaku murah hati dan berbelas kasihan,” katanya, “Akan tetapi menyaksikan kebusukan segala pembesar dan orang-orang jahat, tak dapat aku memberi ampun pula!” “Memang, memang mesti begitu!” seru 2 saudara angkat she Guo dan she Yang itu. “Begini barulah puas!” Kemudian Tiexin ambil cangkul dan sekop lalu mereka bertiga menanam belasan mayat itu. Di dalam hal ini dia tidak khuatir ada orang yang melihat kejadian ini, sebab desa itu sedikit penduduknya dan di waktu itu turun salji lebat, tak ada orang yang sudi berkeliaran di luaran. Xiruo mengambil penyapu untuk menghilangkan sisa² darah di atas salji. Xiruo rupanya tak dapat menahan bau bacin darah, tiba-tiba saja dia rasai kepalanya pusing, matanya kabur, lalu dia roboh. Tiexin terkejut, dia terkam isterinya, untuk diangkat bangun. “Kau kenapa?” tanya suaminya ini beberapa kali.

Xiruo terdiam, kedua matanya tertutup rapat, mukanya pucat, kaki tangannya dingin seperti ais. Tentu saja suaminya itu terkejut dan khuatir. Chuji pegang nadi Xiruo, lantas dia tertawa. “Tahniah! Tahniah!” dia memberi selamat. “Apa, tuan rahib?” tanya Tiexin hairan. Xiruo menjerit, dia sedarkan diri. Mulanya dia hairan di kerumuni 3 orang, habis itu dia malu, dia lari ke dalam. “Isterimu hamil!” kata Chuji kemudian. “Benarkah itu, tuan rahib?” Tiexin sampai tegaskan. “Tidak salah!” si rahib pastikan. “Banyak ilmu yang aku yakinkan, 3 yang memuaskan hatiku, pertama ilmu tabib, kedua syair dan ketiga ialah hikmat kucing kaki tiga.” Dengan kata-kata ‘kucing kaki tiga’ atau tidak ada ertinya, rahib ini merendahkan diri. “Tuan rahib begini hebat tetapi tuan rahib menyebutkan kepandaianmu sendiri sebagai kucing kaki tiga, kalau begitu kepandaian kami berdua pastilah si tikus berkaki tunggal!” katanya. Chuji tersenyum, begitu pula dengan Tiexin.

Kemudian mereka bertiga masuk pula ke dalam untuk lanjuti minum arak. 2 saudara angkat itu sangat kagumi tetamu mereka, yang bertempur hebat tetapi tubuhnya tak terpalitkan darah. Tiexin minum dengan gembira. Dia ingat kehamilan isterinya. “Abang Guo,” katanya kemudian. “Isterimu pun lagi berisi, aku fikir baiklah kita minta tuan rahib yang memberi nama kepada anak-anak kita nanti.” Xiaotian berikan persetujuannya atas saranan itu. Setelah Chuji berfikir sebentar, “Anak abang Guo baik diberi nama Jing, iaitu GuoJing dan anak abang Yang diberinama Kang, iaitu YangKang. Nama-nama ini dapat juga diberikan sekalipun untuk anak perempuan.” “Bagus!” seru Xiaotian. “Aku mengerti, tuan rahib tentu tidak melupai peristiwa Jing-Kang yang memalukan, untuk memperingati ditawannya kedua maharaja kita.” “Benar begitu!” Chuji mengakui. Terus dia menyeluk sakunya dan mengeluarkan 2 bilah pedang pendek, dia letak di atas meja. Pedang itu sama panjang pendeknya dan besar kecilnya, sarungnya dari kulit hijau, gagangnya dari kayu hitam. Kemudian dia ambil pisaunya Tiexin, mengukir gagang kedua pedang pendek itu. Dia mengukir masing-masing 2 huruf ‘Guo Jing’ dan ‘Yang Kang’. Dua-duanya Xiaotian dan Tiexin kagum menyaksikan kepandaiannya Chuji mengukir huruf-huruf itu, cepat dan indah hurufnya.

“Di waktu berkelana seperti ini aku tidak punya barang apa-apa, pedang pendek ini saja aku berikan sebagai tanda mata untuk anak-anak kedua abang nanti!” kata Chuji. 2 saudara angkat itu terima bingkisan itu, keduanya mengucapkan terima kasih. Tiexin mencuba menghunus pedangnya, dia menjadi kagum. Pedang itu berkilau dan memberikan hawa dingin. Demikian pedangnya Xiaotian. Jadinya kedua pedang itu bukan sembarang pedang, meskipun badan pedang tipis sekali. Chuji pegang-pedang yang satu, dia adu itu dengan pisau belatinya, dengan memberikan satu suara, ujungnya pisau belati itu putus menjadi 2 potong. Xiaotian dan Tiexin berdua menjadi terkejut. “Tuan rahib, tak berani kami menerima hadiah ini!” kata mereka. Sebab kedua pedang itu adalah semacam pedang mustika. Chuji tertawa.

“2 pedang ini saya dapat secara kebetulan saja, walaupun benar untuk itu saya mesti keluarkan sedikit tenaga,” dia berkata. “Untukku, senjata ini tidak ada perlunya, sebaliknya adalah besar faedahnya apabila dibelakang hari anak-anak itu pakai untuk membela negeri, melawan musuh.” 2 saudara angkat itu masih mencuba menampik hingga mereka membangkitkan kemarahan Chuji. “Aku anggap kamu adalah turunan orang-orang kenamaan, aku hargai kamu, kenapa sekarang kamu begini tidak bersemangat?” dia menegur. Baru sekarang Xiaotian dan Tiexin tidak menolak lagi, mereka lantas mengaturkan terima kasih. Chuji berkata pula, dengan sungguh-sungguh, “Kedua pedang ini berusia beberapa ratus tahun tua, setahu sudah berapa banyak orang terbunuh dan berapa banyak darah telah dihirupnya, mengertilah kamu, siapa saja yang mengerti hikmat melihat ini lantas matanya menjadi merah. Kamu pun mesti menginsafinya, seorang budak yang hikmatnya tidak sempurna dengan mengguna pedang ini, dia cuma dapat memperbahayakan dirinya sendiri, oleh itu kamu mesti berhati-hati. Kamu ingatlah baik-baik.” Xiaotian dan Tiexin berdua saling mengawasi, hati mereka tidak tenteram.

Chuji tertawa panjang. “Sepuluh tahun lagi, apabila aku masih ada di dalam dunia ini, mesti aku akan datang ke mari untuk ajarkan anak-anak itu hikmat,” dia berkata, “Setujukah kamu?” 2 saudara angkat itu menjadi girang. “Terima kasih tuan rahib, terima kasih!” mereka mengucap. “Sekarang ini bangsa Jin sedang mengincar negara kita, terhadap rakyat dia sangat telengas,” berkata pula Chuji, “Kerana mestinya tidak lama lagi bangsa itu campur tangan, oleh itu aku harap kalian jaga diri baik-baik.” Dia angkat cawannya, meneguk habis isinya, setelah itu dia buka pintu, bertindak keluar. Xiaotian berdua berniat meminta Chuji berdiam lebih lama, siapa tahu tindakan Chuji cepat sekali, tahu-tahu Chuji itu sudah pergi jauh. “Begitulah kelakuan orang berilmu, dia datang dan pergi tak ketentuannya,” kata Xiaotian sambil menghela nafas. “Kita dapat bertemu dia tetapi sayang, kita tidak dapat meminta pengajaran daripadanya.” Tiexin sebaliknya tertawa. “Abang, hebat cara bertempurnya tuan rahib hari ini. Dengan menonton saja, sedikitnya terumbar juga sakit hati kita.”

Dia lantas memainkan pedang yang satu, sampai dia lihat ukiran 2 huruf YangKang. Lantas dia berkata “Abang, aku mendapat satu fikiran, entah kau setuju atau tidak?” “Apakah itu, saudaraku?” Xiaotian balik bertanya. “Inilah mengenai anak-anak kita nanti,” Tiexin beri keterangan. “Umpama anak kita lelaki semua, biarlah mereka menjadi saudara angkat satu dengan yang lain, apabila mereka adalah perempuan, biarlah mereka menjadi kakak dan adik.” “Jikalau mereka adalah lelaki dan perempuan, biarlah mereka menjadi suami-isteri!” Xiaotian menyela. Keduanya lantas menjabat tangan, mereka tertawa terbahak. Itulah janji mereka. Pada saat itu Xiruo muncul. “Eh, kenapa kamu menjadi girang begini?” “Kami baru saja membuat janji,” sahut Tiexin, yang lantas tuturkan kecocokan mereka berdua. “Cis!” si Xiruo meludah. Tetapi di dalam hati, dia pun girang. “Sekarang marilah kita saling tukar pedang dahulu,” Tiexin berkata pula. “Ini adalah semacam tanda mata. Kalau mereka ada lelaki atau perempuan, biarlah mereka jadi saudara satu dengan yang lain, kalau..” “Kalau begitu, kedua pedang ini akan berkumpul di rumah kakak!” kata Xiaotian. “Mungkin akan berkumpul di rumahmu, saudara!” kata Xiruo. Lantas mereka tukar kedua pedang itu. Sampai disitu, Xiaotian pulang dengan membawa pedang itu, diberitahukan kepada isterinya, Li Ping. Tiexin gembira sekali, dia minum sendirian hingga mabuk.

Xiruo pimpin suaminya ke kamar tidur, lalu dia kemaskan piring mangkok dan cawan, bila melihat hari sudah hampir senja, dia pergi ke belakang untuk kurungi ayamnya. Setibanya dia di pintu belakang, dia menjadi terkejut. Di situ, di atas salji ada tanda-tanda darah yang melintas di luar pintu belakang. “Kiranya di sini masih ada tanda darah yang belum dilenyapkan,” fikirnya hairan. “Kalau pembesar negeri melihat, inilah bahaya.” Dia cari penyapu lantas dia menyapu pula. Tanda darah itu menuju ke belakang rumah di mana ada pepohonan lebat. Di sini dia lihat tanda darah dari orang yang rupanya merayap. Dia jadi bertambah hairan, kerana curiga, dia ikuti terus tanda darah itu sampai di belakang sebuah kuburan tua. Di situ dia lihat suatu benda hitam yang tergeletak di tanah. Bila dia sudah dekat, dia kembali terkejut. Itu adalah tubuhnya seorang dengan pakaian serba hitam, salah seorang yang tadi mengepung Qiu Chuji. Rupanya habis terluka, dia tidak terbinasa, dia lari ke belakang rumah.

Setelah berfikir, Bao Xiruo ingat untuk panggil suaminya, buat kubur orang itu. Sebelum dia bertindak teringat pula adalah berbahaya kalau dia tinggal pergi sebab mungkin nanti diketemui orang yang kebetulan lewat di situ. Dia beranikan diri menghampiri orang itu dengan niat menyeret, dipindahkan ke dalam reban, setelah itu barulah panggil suaminya. Benar disaat dia cekal tubuh orang untuk ditarik, tubuh itu bergerak, lau terdengar suara rintihan. Dia menjadi sangat kaget, dia jadi berdiri bagaikan terpaku, sedang sebenarnya ingin lari pulang. Lewat sesaat, tubuh itu terdiam pula. Dengan beranikan hati, Xiruo pakai penyapu, untuk bentur tubuh orang. Maka sekali lagi dia dengar suara rintihan perlahan.

0 komen:

Post a Comment